Thursday, August 30, 2018

JALAN TERUS!

"Saya susah nak faham, tapi sayang. Tak boleh tinggal."
-------------
Sedang melayan Along bermain kereta robot dia, bonda terima mesej di aplikasi telegram. "Oh, ada secret message." 
Seorang Puan berpangkat ibu pada bonda bertanyakan tentang bahasa Arab. Beliau mahu bonda dengarkan muhadasah/perbualan beliau untuk diperbetulkan
.
Allah. Terkejut bonda. Beliau kata beliau tahu bonda belajar dan mengajar bahasa Arab. Bonda katakan lastu ana maahirah. Bonda tidaklah mahir. Tapi mana boleh bantu, bonda cuba. Semangatnya dia, masyaAllah. Kagum! Benarlah mencari ilmu itu tidak kira umur. Selagi bernafas, selagi itu belajar
.
Berbual-bual, bertukar cerita dan pengalaman, sudahnya bonda juga yang belajar dari beliau. Ambil semangat seorang mak cik yang tetap mahu berbahasa Arab walau ada aral tertentu. Kata beliau, kalau belajar lain beliau sudah berhenti mengalah. Tapi lain dengan bahasa Arab. Beliau sayang


Alhamdulillah ilmu Allah pinjamkan ketika belajar, membantu bonda. Tapi skil mengajar dan bercakap itu yang bonda kurang. Masih banyak kurang. Kerana itu, bonda banyakkan kongsi nota, cari cari cari tentang bahasa Arab, khas untuk diri sendiri
.
Syukur, menjadi ibu, mengajar dan menjual buku bantu bonda ada interaksi dengan bahasa Arab. Moga bonda dapat bantu sedikit sebanyak mana-mana ibu. Tapi bonda tidak mahir tau 🙈. Jangan panggil bonda ustazah, segan. Bonda doakan semua kita mudah belajar bahasa Arab, untuk faham Alquran, untuk faham ilmu agama. Aamin

Wednesday, August 15, 2018

SERONOKNYA BELAJAR!


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Selepas kenal huruf-huruf hijaiyyah, di sini bonda sertakan nota bergambar, perkataan-perkataan yang mewakili huruf-huruf hijaiyyah setiap satunya.

Ibu ibu boleh download dan jadikan Alat Bantuan Mengajar (ABM) bersama anak-anak.
Antara aktiviti boleh kita buat antaranya:

1) Menyanyi bersama.
2) Teka teki - ibu sebutkan huruf anak sebutkan perkataan. Atau sebaliknya.
3) Lost and Found - macam treasure hunt. Bila anak sudah kenal huruf dan perkataann, bolehlah sorokkan kertas huruf dan cari.
4) Tulis huruf.
5) Fonik huruf hijaiyyah (ini nanti bonda kongsikan video cara sebutannya).

Dan macam macam lagi mengikut kreativiti kita mahu anak ingat. Ini boleh ingat dan kenal bentuk huruf serta hafal perkataan bahasa Arab sekali.

Semoga bermanfaat.




























































Teladan Dari Al Quran

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
.


Antara surah kegemaran bonda 😊. Surah dicadangkan untuk dibaca ketika mengandung (bahkan hakikatnya, menghabiskan membaca Al Quran ketika mengandung adalah lebih baik).

Usai bacaan selepas Maghrib, ayat ini menarik perhatian bonda.
Ayat 4 surah Maryam ini ajar kita sesuatu.

Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Jangan pandang rendah kekuatan doa.
Tawakal dan usahalah kerana Allah
.
Nabi Zakaria tidak pernah putus asa berdoa memohon dikurniakan anak dan Allah memakbulkan doanya walaupun sudah memutih uban di kepala

قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ 
بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا


Bonda belajar;
- Jangan putus doa untuk anak. Allah lindung anak kita, Allah jadikan anak kita soleh, Allah jadikan anak kita muaddabun, Allah jadikan anak kita cerdas akalnya.
- Doa mampu mengubah sesuatu.
--------
Dalam Surah Maryam ada 6 kisah.

1. Kisah Nabi Zakaria a.s dan anaknya Nabi Yahya a.s.
2. Kisah Maryam dan anaknya Nabi Isa a.s.
3. Kisah Nabi Ibrahim a.s yang berdakwah kepada ayahnya yang menyembah berhala.
4. Kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ishak dan Yaaqub.
5. Kisah Nabi Ismail a.s.
6. Kisah Nabi Idris a.s

Semoga perkongsian ini memberi manfaat pada kita. Al Quran itu syafaat.

@bondalutfi
21.26pm

Tuesday, August 14, 2018

Belajar Sepanjang Hayat

Dengan nama Alalh yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
.

Sudah ada anak, kita banyak belajar.
Belajar jadi lebih sabar.
Belajar jadi lebih kuat fizikal dan mental.
Belajar ilmu keibubapaan.
Belajar tawakal, redha, berserah bulat-bulat pada Allah.
Belajar sangka baik selalu
Belajar kenal dan dekat dengan Tuhan
.

Oh, tidak akan habis senarainya jika mahu ditulis semua.

Sangka baik. Doa yang baik baik. Fikir yang baik baik. Tarik nafas dan hembus. Katakan pada diri sendiri; aku boleh!

Catatan bonda.
@bondalutfi
08.52am

Sunday, August 12, 2018

MENGENAL HURUF HIJAIYYAH

"Alif ba ta tsa jim ha kho...dal zal ro zai sin syin sod..." Nyanyi along dan adik bersama Omar dan Hana di televisyen. Anak anak mudah belajar. Sambil bernyanyi, main, beraktiviti, sambil belajar
***

Huruf-huruf nyanyian Omar dan Hana ini kita kenal sebagai huruf-huruf Hijaiyyah, atau disebut abjad arab. Arabic alphabet pula jika dalam bahasa Inggeris.

Sedikit tentang huruf Arab.
Huruf arab atau huruf hijaiyyah ini disebut juga huruf-huruf tahjiyyah (حروف تهجية). Ia bermaksud menghitung huruf, membaca huruf demi huruf.

Al Quran memerlukan seseorang yang kenal dan pandai membaca gabungan huruf-huruf hijaiyyah. Begitu juga dengan bahasa Arab. Mesti pelajari huruf-huruf hijaiyyah. 

Permulaan mempelajari bahasa Arab juga inilah; kenal, tahu dan boleh membaca serta menulis huruf-huruf atau abjad arab ini dengan baik. Di bawah ini bonda sertakan nota sebagai panduan atau ulangkaji kita dengan anak, bentuk dan cara sebutan huruf-huruf arab yang 28 huruf ini.




Bila sudah kenal huruf-huruf hijaiyyah/arab, belajar bahasa Arab, belajar membaca Al Quran, bahkan jawi dan menulisnya juga mudah insyaAllah. Oh, bercakap tentang menulis huruf Arab, sentiasa tulis dari kanan ke kiri. Dan huruf Arab tiada huruf kecil atau besar 😊
.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Nanti bonda kongsikan pula perkataan-perkataan bahasa Arab mewakili huruf-huruf hijaiyyah khas untuk anak-anak.



Friday, August 10, 2018

JALAN MANA?

PILIH
***
"Kalau permohonan masuk UIA tu pun kau dapat nak, pergilah UIA." kata ayah.

Bonda ingat lagi kata-kata ayah selepas keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) keluar. Inilah dia waktu 'belum tahu mahu ke mana' bonda. Dan mahu 'dilepaskan' ke mana anak sulungnya ini.
Ke Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang di dalam negara kah? Atau ke Mesir merantau ke luar?

Bila jawapan kepada borang permohonan kemasukan universiti diterima, ke UIA bonda diterima, ke Mesir juga akan dibiaya. Oh, bagaimana ni?



Waktu terima surat tawaran ke UIA; antara universiti pilihan utama bonda sejak tingkatan 5, bonda sudah separuh perjalanan berada dalam kursus intensif untuk ke Timur Tengah. Dilema.

JALAN
***
Tak boleh jadi. Harus pilih. Maka harus juga bertanya pendapat kawan-kawan yang berkursus sama. Bangun sujud memohon petunjuk Tuhan agar 'jalan' yang akan dipilih tidak salah. 

"Ada surat tawaran.  Kena balas sebelum tamat tarikh dia bagi tu." kata mak.
Nekad. Bonda pilih Mesir bumi kinanah, tempat asing, jauh dari negara sendiri. InsyaAllah jalan inilah. Mak ayah juga menyokong. Alhamdulillah.

Bangunan kuliah siswi, Universiti Al Azhar, Kaherah
Tapi bonda sedar, perjalanan ni baru bermula. Belajar ilmu baru, budaya baru, dialek baru, orang baru, tempat baru pasti. 
The journey ahead is still unknown.


@bondalutfi
02.10am

Thursday, August 9, 2018

KENAPA BELAJAR BAHASA ARAB 2

"شُكْرًا وجَزَاكِ اللّه خَيرًا عَلَى مُسَاعَدَتُكِ يَا فَاطِمة"
Terima kasih dan semoga Allah membalas kebaikanmu atas pertolonganmu Fatimah.
"وَإِيَّاكِ جَزَاكِ اللّه خَير"
Dan ke atas kamu juga 
----------
Bahasa yang lembut di lidah dan lunak didengar itulah bahasa Arab. Ini bonda kongsikan 3 lagi sebab yang buat kita semangat belajar bahasa Arab.
---------------
6) "Bahasa Arab asal kepada bahasa-bahasa di dunia"

Ya. Bonda ada mendengar dan baca tentang ini. Dinukilkan bahawa bahasa-bahasa yang ada di dunia ini tercipta sebahagiannya dari bahasa Arab. Kata pinjaman dari bahasa Arab juga banyak. Gula (سَكَّر), sugar. Kain kapas (قُطنٌ), cotton, syariah (شَرِيعَة), zakat (زكَاة) dan lain-lain.

Bahkan ilmu-ilmu seperti Matematik, Sains dan falsafah banyak meminjam kosa kata dari bahasa Arab.


7) Bahasa Arab ialah salah satu dari 6 bahasa yang digunakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama bahasa Inggeris, Perancis, Mandarin, Sepanyol dan Rusia!

Nah! Bahasa Arab tidak lagi asing. Bahkan jadi bahasa penting sejagat. Peluang belajar yang ada kita rebut.

8) Bahasa Arab adalah salah satu dari tiga bahasa yang memainkan peranan penting dalam sejarah peradaban manusia.

Bahasa Arab masih digunakan dan tetap hidup sehingga ke hari ini. Ia sesuai pada setiap zaman. Dan yang menjadikannya bahasa yang utama dan hidup lebih dari 1400 tahun peradaban Islam adalah kerana ia adalah bahasa Al Quran.

Bahkan, ia bahasa ILMU!

1. Surah Yusuf ayat 2

إِنَّآ أَنزَلْنٰهُ قُرْءٰنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

"Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al Quran dengan ber bahasa Arab, agar kamu memahaminya."

2. Surah An-Nahl ayat 103

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّهُمْ يَقُولُونَ إِنَّمَا يُعَلِّمُهُۥ بَشَرٌ ۗ لِّسَانُ الَّذِى يُلْحِدُونَ إِلَيْهِ أَعْجَمِىٌّ وَهٰذَا لِسَانٌ عَرَبِىٌّ مُّبِينٌ

"Dan sesungguhnya Kami mengetahui bahwa mereka berkata: "Sesungguhnya Al Quran itu diajarkan oleh seorang manusia kepadanya (Muhammad)". Padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahwa) Muhammad belajar kepadanya bahasa 'Ajam, sedang Al Quran adalah dalam bahasa Arab yang terang."

3. Surah Taha ayat 113

وَكَذٰلِكَ أَنزَلْنٰهُ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا وَصَرَّفْنَا فِيهِ مِنَ الْوَعِيدِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ أَوْ يُحْدِثُ لَهُمْ ذِكْرًا

"Dan demikianlah Kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab, dan Kami telah menerangkan dengan berulang kali, di dalamnya sebahagian dari ancaman, agar mereka bertakwa atau (agar) Al Quran itu menimbulkan pengajaran bagi mereka."

4. Surah Asy-Syu'ara ayat 195

بِلِسَانٍ عَرَبِىٍّ مُّبِينٍ

"Dengan bahasa Arab yang jelas."

5. Surah Az-Zumar ayat 28

قُرْءَانًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِى عِوَجٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

"(Ialah) Al Quran dalam bahasa Arab yang tidak ada kebengkokan (di dalamnya) supaya mereka bertakwa."

Alhamdulillah. Moga-moga perkongsian kali ini beri sedikit info dan semangat pelajari bahasa ilmu ini.

@bondalutfi
02.21am

Tuesday, August 7, 2018

Bumi Kinanah

 وَمَا اللَّذَّةُ إِلا بَعْدَ التَعَبِ
"Tidak ada kenikmatan kecuali selepas kepayahan."

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.
Pada entri pertama, bonda ada bercerita tentang ijazah sarjana muda bonda yang tercipta dari Universiti Al Azhar, di Kaherah Mesir. Allahu. Satu nikmat selepas dugaan, ujian dan kepayahan itulah dia

Alhamdulillah. Ini kurniaan Tuhan yang paling berharga. 
Benar. Belajar di mana pun rasa bonda sama saja. Yang membezakan pada kegigihan, cabaran dan pengalaman. Oh, bahasa dan budaya juga kalau sudah berbeza negara 😊

Teringin bonda kongsikan kisah, cerita dan pengalaman sepanjang belajar dan menuntut ilmu di Tanah Kinanah itu. Yang pahit tentu saja ada. Yang manis pula, banyak! 


InsyaAllah, dengan izinnya akan bonda kisahkan di sini. Antara cebisan perjalanan kehidupan yang buat bonda tambah cinta bahasa syurga. Travelog Universiti Al Azhar bonda judulkan. Moga Allah bantu beri ingat kisahnya. 😊

@bondalutfi
09.23am

Monday, August 6, 2018

KENAPA BELAJAR BAHASA ARAB?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

KENAPA KITA BELAJAR BAHASA ARAB?
Sebagai memberi semangat pada semua khususnya ibu-ibu, ini bonda kongsikan dahulu 4 sebab, pendorong yang jadi booster (dari sudut pandang bonda) kenapa bonda rasa belajar bahasa Arab jadi satu keperluan.

1.       BAHASA ARAB BAHASA SYURGA, BAHASA AL QURAN, BAHASA BAGINDA NABI S.A.W

Ustaz Nouman Ali Khan ada menggariskan, antara tujuan dan sebab seseorang Muslim pelajari bahasa Arab sepatutnya adalah untuk memahami isi Al Quran dan maknanya. 

Kitab Al Quran

Bila faham bahasa Arab, faham Al Quran. Bila faham bahasa Arab, faham hadith dan ilmu agama. Maka beruntunglah yang ada peluang pelajari bahasa ini. Jika ada peluang, belajarlah. Ia sunnah.

2. BAHASA PALING BANYAK DITUTURKAN

Bahasa Arab diakui antara 5 bahasa yang paling banyak dituturkan di seluruh dunia! Paling banyak tau. Dan kebanyakkannya juga sebagai bahasa pertuturan kedua! MasyaAllah. Hebat kan pengaruh bahasa Arab.

3. AMBITIOUS LANGUAGE LEARNER 

Ada kajian menyatakan sesiapa yang belajar bahasa Arab, maka dia adalah seorang yang mempunyai keazaman yang tinggi. Manakan tidak, bahasa ini adalah antara yang paling sukar tapi tidak mustahil untuk dipelajari.

United State Department of State menyebut orang-orang yang mempelajari bahasa Arab sebagai;
a strong committed ambitious language learner!

4.  أَحْرِصُوْا عَليَ تَعَلُّمِ الُّلغَةِ الْعَرَبِيَّةِ فَإِنَّهَا جُزْءٌ مِنْ دِيْنِكُمْ

Kata-kata Saidina Umar Al-Khattab:
“Hendaklah kamu sekalian mempelajari bahasa Arab kerana bahasa Arab itu merupakan sebahagian dari agamamu”

Saidina Umar menambah lagi dalam satu suratnya kepada Abu Musa:

"Pelajarilah bahasa Arab. Sesungguhnya ia dapat menajamkan akal dan menambah kehormatan."

2 saranan ini sudah cukup memberitahu kita kepentingan mempelajari bahasa Al Quran ini.

5. BAHASA TERTUA

Bahasa Arab ini antara bahasa tertua di dunia. Bahasa yang mula-mula diajarkan Allah kepada Nabi Adam ketika di dalam syurga.


"Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar."
(Al Baqarah ayat 31)
.
Memahami bahasa Arab adalah salah satu antara sebab-sebab kemudahan, masyaAllah. Bila belajar bahasa Arab, bahasa lain menjadi mudah juga insyaAllah.

Ini dulu 5 sebab. Ada 4 lagi sebab yang jadi booster bonda. Belajarlah. Tidak kira umur dan jantina. Moga dipermudahkan kita belajar bahasa ini. Ajarkan pula pada anak anak dan orang lain.

@bondalutfi
00.23am

Sunday, August 5, 2018

SURI RUMAH, BONDA DAN USTAZAH

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

“Bonda, adik tertumpahkan air bonda.”
“Bonda, tolong buatkan along roti triangle.”

Di masa lain pula.
“Ustazah, dia tak bawa buku Tilawah hari ni.”
“Ustazah hari ni kita belajar tentang hari kiamat kan?”
--------
Alhamdulillah. Haza min fadhli rabbi. Ini kurniaan dari Allah. Hari-hari bonda sama macam ibu-ibu lain. Suami yang perlu disantuni dan dilayan sehabis baik. Anak-anak kecil yang perlukan perhatian dan didikan. Anak-anak didik, kelas agama petang di sekolah yang jadi amanah, sebagai saham dan bekal ‘di sana’ nanti. Sama. Kalau ada beza pun, cuma di situ dan di sini sahaja.

Jadi surirumah sahaja perlukan kesabaran dan cekal yang tinggi. Dari pagi membawa ke pagi badan bekerja tidak berhenti. Itulah tugas ibu kan. Bekerja atau tidak, masing-masing ada keluarga perlu diurus sehabis baik semampu ibu. Sebab itu jugalah Allah dan Rasul meletak tinggi martabat seorang ibu. Malah ganjarannya juga besar masyaAllah!

Bonda suka kata-kata ini;
Being a mother is learning about strengths you didn’t know you had and dealing with fears you didn’t know exists.”



Kerana menjadi isteri, ibu, pendidik bahkan apa sahaja pun perlukan kekuatan. Maka kitalah pendorong terkuat diri sendiri.

Dan kita percaya, Allah Al Qowiy akan kurniakan kekuatan luar biasa bila kita meminta. Solat, sabar kata Allah. Berdoalah akan Aku perkenankan (Surah Ghafir, ayat 60). Moga-moga Allah lorongkan jalan yang mudah insyaAllah. Penat kita isteri, ibu ini adalah penat yang dibayar 'gajinya' oleh Allah Azza wa Jalla.

@bondalutfi
00.27am

Friday, August 3, 2018

Takkan Padam Ditelan Angin

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
.
.
Sekian banyak kata kata dan nukilan semangat yang kita baca jadi penguat diri kita.
Waktu sukar, waktu kabur.
Saat mental lemah, badan lelah, hati gundah
.
Allah titip satu wadah paling gah dan penuh hikmah. Itulah Alquran kalamullah.

Bacalah. Dengan baca Alquran, hati akan jadi tenang. Jiwa jadi lapang. Sempit jadi luas.
(Ar Ra'du : 28)

Alquran itu penunjuk jalan. Manual kehidupan. Antara kitab yang lengkap serba serbi
.

Sebab itu bonda suka baca tulisan yang baik juga. Fitrah kan. Dan suka untuk cuba tuliskan yang baik baik pula. Mudahan ada yang dapat sesuatu dari kita, seperti kita dapat sesuatu dari bacaan kita asbab penulisnya
.

Ada satu kata-kata bonda suka.
"Kerana kau menulis, suaramu takkan padam ditelan angin. Akan abadi sampai jauh, jauh di kemudian hari."
.
.
Bacalah.
Tulislah.
Yang baik-baik
.
@bondalutfi
8.30pm

BAGAIMANA MAHU BERMULA?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
.
Alhamdulillah, jumpa lagi. Kaifa halukum? Sebelum sesuatu pasti ada permulaan kan. Sebelum berbuah, pasti benih disemai dahulu. Jadi entri kali ini bonda mahu kongsi bagaimana mahu mula belajar bahasa Arab? Ini pada sudut pandang bonda. Kalau sahabat-sahabat punya idea lain, boleh kongsi ya 😊

1) Minat. Harus kan. Minat bahasa Arab. Minat nak belajar bahasa Alquran. Minat nak cakap Arab. Kalau ada minat, sesukar manapun sesuatu pasti jadi mudah.

2) Niat. Betul. Paling utama sebelum sesuatu. Niat dahulu. Mesti jelas. "Aku mahu belajar bahasa Arab tahun ini dalam tempoh sekian-sekian."
"Aku mahu fahamkan bacaan Alquran, jadi perlu belajar bahasa Arab."
"Mahu bantu anak belajar bahasa Arab, aku mesti mula belajar."
Begitulah contohnya.

3) Kesungguhan. Kata orang putih 'determination'. Bahasa Arabnya عَزْمٌ. Bila ada kesungguhan, perkara sukar jadi mudah

4) Mesti siap sedia. Sediakan fizikal; sedia nak belajar. Sediakan mental; hadapi apabyang bakal dipelajari. Dan sediakan bahan-bahan; buku nota, buku tulis, kamus.
Oh, internet juga tau 😊.

5) Ada satu matlamat. Matlamat ini yang akan jadi pendorong kuat kita mahu belajar bahasa Arab. Bagi bonda, semestinya faham Alquran. Faham ilmu agama.
Dan bila sudah jadi ibu, kita mahu bantu anak anak dan jadi tempat rujuk bila bertanyakan kerja rumah bahasa Arab.
Matlamat inilah booster kita

Bonda simpulkan, bagaimana mahu mula, mula dari diri sendiri. Kitalah yang jadi semangat dan pendorong diri sendiri.
Mudahan entri ini dapat jadi semangat buat sahabat-sahabat dan ibu-ibu yang mahu belajar bahasa Arab. Yang baru mula atau sedang. Jom!

@bondalutfi
6.05pm